Monday, March 8, 2010

CABARAN guru era teknologi maklumat.

"HARI GURU SUDAH BERLALU. SEMUA SEKOLAH DI NEGARA INI MENGAMBIL KESEMPATAN MEMBUAT SAMBUTAN. BAGI SAYA, MEMANG SEPATUTNYA SAMBUTAN INI DILAKUKAN. APATAH LAGI SEKIRANYA SAMBUTAN HARI GURU ITU DIISI DENGAN PROGRAM YANG MENARIK DAN MENIGKATKAN LAGI KEAKRABAN DI ANTARA GURU-GURU SESAMA SENDIRI SERTA GURU-GURU DENGAN MURID-MURID".

Sebenarnya, banyak dan besar tanggungjawab seorang guru. Pendidikan luar rumah banyak bergantung kepada guru-guru. Malah bagi sesetengah individu, guru-gurulah yang menjadi penyuluh jalan mereka. Alangkah bertuahnya guru-guru dikenang dan disayangi oleh murid-murid mereka sama ada semasa mereka masih di sekolah atau setelah meninggalkan sekolah.

Saya juga menyedari profesion perguruan hari ini menghadapi cabaran yang unik berbanding dengan era sebelum ini. Di dalam era teknologi maklumat ini, cabaran yang datang kepada guru-guru ada yang menyempitkan dada. Membuat para guru sesak nafas dan berusaha untuk menarik nafas panjang. Guru-guru hari ini berhadapan dengan masalah seperti;
  • Para pelajar tidak suka dan tiada semangat untuk pergi ke sekolah.
  • Para pelajar tidak lagi mendapati sekolah suatu yang menyeronokkan.
  • Para pelajar tidak berdikari dalam berfikir.
  • Para pelajar melakukan perbuatan yang tidak sihat (gangsterisme, buli, ponteng, melawan guru dan sebagainya).
  • Para guru menghadapi masalah mengawal penumpuan pelajar semasa pelajaran.
  • Para guru menghadapi masalah mendapatkan komitmen tinggi daripada pelajar.
  • Beban mendidik hanya diletakkan ke atas para guru oleh sesetengah ibubapa.
  • Tekanan untuk memastikan prestasi peperiksaan pelajar cemerlang (namun pembinaan diri pelajar yang banyak boleh diperoleh daripada penglibatan ko-kurikulum diketepikan).
  • Penglibatan seks di bawah umur di antara pelajar dan lain-lain.
Pendekatan Pembelajaran

Pendekatan pembelajaran merupakan suatu yang mesti diambil kira dan bukan sekadar informasi dan data yang perlu diingat sahaja. Pada zaman industri bentuk pembelajaran adalah berpusatkan guru. Walaubagaimanapun, masa telah berubah ke zaman teknologi maklumat yang memerlukan 'pekerja yang bistari'.

Pekerja Ilmu Bistari merupakan seseorang yang mampu menggunakan teknologi maklumat serta daya pemikiran sendiri untuk menyelesaikan masalah semasa. Ini memerlukan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar.

Guru-guru kini memahami keadaan sebegini dan mereka telah diarahkan untuk menukarkan kaedah pembelajaran dari pembelajaran berpusatkan guru ke pembelajaran berpusatkan pelajar. Dipercayai juga para guru telah diberi kursus untuk dapat membuat penukaran ini.

Namun ini mengambil masa kerana mereka perlu menguasai dahulu corak baru ini dan walaupun mereka memahami apa yang perlu dibuat, disebabkan mereka tidak begitu mahir bagaimana untuk membuatnya, ramai di antara mereka kembali mengamalkan pembelajaran berpusatkan guru oleh kerana itulah kaedah pembelajaran yang mereka terlatih semasa di pusat-pusat latihan guru dan universiti.

Untuk memastikan para guru semua dapat menggunakan skil baru yang amat perlu untuk corak pembelajaran masa kini, para guru perlu didedahkan kepada corak pembelajaran yang terkini iaitu teknologi Accelerated Learning. Teknologi ini mudah dipelajari dan dihayati serta akan membantu para guru membuat tranformasi diri dan murid dengan mudah.